I made this widget at MyFlashFetish.com.

DOA UNTUK SAHABATKU


YA ALLAH…

Panjangkanlah umur sahabatku
Kurniakanlah kesihatan yang baik padanya,
Terangi hatinya dengan nur pancaran iman.
Tetapkanlah hatinya,
Perluaskanlah rezekinya,
Dekatknlah hatinya kepada kebaikan,
Jauhkanlah hatinya pada kejahatan,
Tunaikanlah hajatnya baik hajat dalam agama,dunia
Dan akhirat

YA MUHAIMIN…


Jika dia jatuh hati izinkanlah dia menyentuh hati seseorang
Yang hatinya tertaut padamu
Agar tidak terjatuh dia dalam jurang cinta nafsu?
Jagalah hatinya agar tidak berpaling
Daripada melabuhkan hatinya pada hatimu.
Jika dia rindu,
Rindukanlah dia pada seseorang yang merindui syahid di jalanmu


Isnin, 17 Januari 2011

A Di Nos



*Kulit depan

Langit kelihatan tenang petang itu. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipiku yang agak berjerawat. Sungguh nyaman petang itu. Sebatang pensel terselit dijari dan sebuah skecth book turut berada hampir denganku di atas sebuah meja kayu usang yang diwarisi daripada datukku. Hampir selesai saja aku melakarkan suasana pada petang itu, angin kencang tiba-tiba merintang tanganku. Langit yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar gelap. Hembusan angin dingin mulai menampar-nampar mukaku. Aku terus meninggalkan kerusi panjang yang kubuat khas untuk melakar ketenangan alam di bawah pohon yang merimbun di hadapan teratakku. Tatkala itu tanpa kusedari, sedikit demi sedikit perasaan bosan menguasai diriku. Aku mulai memikirkan sesuatu yang dapat menghilangkan terus rasa kebosananku. Aku menuju ke suatu ruang dalam rumahku yang menempatkan sebuah meja kecil untuk kutulis karya terbaru. Mata pena mula mengeluarkan dakwat mengikut ayunan tangan di atas buku yang kertasnya agak kekuningan. Di sini tersuratlah kisah seorang pemuda yang hidupnya yang agak mencabar.

16 & 13 (2008)

Setelah keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diketahui pada tahun lepas, aku ditempatkan di kelas 4 A******* iaitu kelas Sains Tulen. Aku terpaksa mengambil mata pelajaran elektif Biologi, Kimia, dan Fizik tanpa adanya minat mendalam terhadap mata pelajaran tersebut. Pada fikiranku mungkin dah tersurat rezekiku berada di aliran sains. Beberapa bulan selepas itu aku menerima satu tawaran ke Sekolah Menengah Teknik L******* dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Walaupun dalam surat tawaran tertera namaku ditempatkan di asrama, namun aku tetap menolaknya kerana bagiku sekolah yang kutimba ilmu selama tiga tahun lamanya, rasa sayang untuk kutinggalkan. Entah kenapa aku pun tak tahu. Keputusan nekad yang kuambil ialah terus menimba ilmu di sekolah lamaku, SMK**.
Di sekolahku ini, aku berkawan rapat dengan seseorang yang mesra dipanggil Akid(bukan nama sebenar). Kami sama-sama tinggal di asrama sekolah itu. Suatu hari, sedang kami menikmati makan pagi di dewan makan, terpandang kelibat seorang gadis yang agak manis rupa parasnya.. Aku nampak mata Akid melirik kepadanya.
“Ehem...” dehemku.
“Awat?” tanya Akid.
“Usha ker?”
“Mana ada...”
“Kalau nak, aku tolong,” aku mengusik Akid.
Aku bukan nak bangga diri, tapi aku ini jenis yang suka menolong orang. Setelah mendapat tahu nama gadis itu, kerjaku menjadi semakin senang. Keesokan harinya kami dapat melihatnya lagi. Daripada risikanku, rupa-rupanya gadis itu belajar di sesi petang. Pada tanggapanku amat mudah untuk melihatnya, kerana apabila pelajar sesi petang pulang dari sekolah, kami pula pada ketika itu kebiasaannya berada di bawah pokok asam yang menjadi laluan utama ke asrama puteri. Akid tidak sabar-sabar ingin tahu nombor telefon gadis yang bernama Ikin(bukan nama sebenar)itu. Malam itu, semasa supper, aku meminta kawan setingkatanku mendapatkan nombor telefon Ikin. Hasilnya berjaya setelah Anis (bukan nama sebenar) dapat menunaikan hajat Akid dan secara tidak langsung juga dapat menunaikan hajatku.
“Akid, aku dah dapat nombor dia,” kataku dengan gembira.
“Wei, hang buat macam mana?”
“Tengok orang la, ini Kudo la.”
Aku berikan nombor telefon Ikin kepada Akid. Sebelum Akid menerimanya, aku sendiri sudah menghafal nombor itu. Pada hujung minggu itu semua pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan balik ke rumah masing-masing. Cuma aku dan Danny(bukan nama sebenar) saja yang tak dapat balik kerana keesokan harinya ada latihan Marhaban. Aku juga aktif dalam Kebudayaan Islam. Aku ambil bahagian dalam nasyid, marhaban dan sebagainya. Aku teringatkan Akid yang tidak bersamaku ketika itu. Lalu aku mengeluarkan telefon bimbitku dari kocek seluar dan terus menghubungi Akid menerusi khidmat pesanan ringkas. Soalanku yang pertama... sudahkah dia menghubungi Ikin? Daripada balasan pesanan ringkas yang kuterima daripada Akid, aku dikhabarkan bahawa dia sudah menghubungi Ikin. Akid turut menyatakan bahawa Ikin seorang yang sombong. Aku terkejut. Mana mungkin orang cantik sepertinya bersikap sombong. Pada kali pertama aku melihat Ikin dulu pun aku merasakan bahawa dia bukan seorang yang sombong. Hati kecilku turut berbisik mengatakan Ikin adalah seorang gadis yang baik. Untuk mengiakan pendapatku, akhirnya kuringankan tanganku menulis pesanan ringkas dan menghantarnya kepada Ikin. Aku merahsiakan namaku. Aku memulakan mesejku dengan pantun dahulu. Aku mula membaca sikap Ikin menerusi caranya menulis mesej. Gaya penulisan mesejnya menampakkan dia agak sombong. Dia bertanya siapa aku. Aku memberi nasihat kepadanya terlebih dahulu dan memintanya berjanji supaya tak sombong lagi. Setelah dia bersetuju barulah aku memberitahu namaku. Entah kenapa dengan tiba-tiba muncul rasa suka aku pula kepadanya. Aku mula membayangkan mungkin inilah hikmah aku tak menyambung pelajaranku ke SM Teknik. Kalau aku ke sana, mungkin aku tak dapat kenal dengan Ikin. Hatiku berbisik supaya berlaku jujur kepada Ikin tentang bagaimana dan daripada siapa aku memperoleh nombor telefonnya. Aku ini dari jenis yang suka ikut kata dan gerak hati. Jadi aku pun beritahulah apa yang sebenarnya. Masa itu aku ingat lagi tempat aku menghantar mesej kepadanya, iaitu di pondok jaga asrama. Kebetulan Pengawal Keselamatan di pintu pagar asrama tiada di situ. Keesokan harinya barulah aku dan Danny balik rumah. Hanya semalam sahaja aku dapat bermalam di rumahku.
Apabila pulang semula ke asrama, aku menghantar surat kepada Ikin. Sebenarnya bukanlah seperti surat pun kerana aku menulisnya ala-ala borang soal selidik. Dia membalasnya kembali. Hatiku semakin tertarik kepadanya. Kuajukan lima belas soalan kepadanya. Kukira sudah banyak maklumat yang bakal dapat kutahu tentang Ikin. Dia menjawab semua pertanyaan aku walaupun tak semua jawapan yang diberikan aku berpuas hati. Rupa-rupanya kami ada persamaan dari segi tokoh idola iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie. Cita-citanya pula dirahsiakan.
Setelah beberapa bulan aku mengenali Ikin, kelas aku telah dipindahkan untuk sementara dengan kelas tingkatan 5R***** sepanjang Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 .Kelas 5R***** dikongsi dengan kelas Ikin . Kebetulan lagi tempat dudukku semeja dengan Ikin. Pada mulanya aku tidak tahu, tapi selepas melihat buku di dalam laci meja yang ditinggalkan, barulah aku tahu siapa empunya tempat itu. Oleh kerana minatku sangat menebal dengan seni, jadi masa luangku semasa peralihan guru kugunakan untuk melakar apa yang aku lihat dari tempat mejaku itu sehinggalah menerawang ke blok asrama puteri. Entah bagaimana aku dengan sengaja telah meninggalkan lukisan yang kulakarkan itu di dalam laci meja.

Keesokan harinya aku mendapati lukisan yang kutinggalkan itu telah tiada. Pada suatu hari, aku menulis sebuah cerpen dalam buku kecilku. Apabila tiba masa pulang aku cepat-cepat berkemas kerana pelajar sesi petang akan menggunakan kelas itu pula. Tanpa kusedar apabila sampai di asrama aku dapati buku kecilku tertinggal di dalam laci meja di kelas. Antara kandungan buku kecil itu ialah cerpenku berkisar tentang dirinya. Keesokan hari apabila sampai di kelas, aku mendapatkan buku kecilku yang tertinggal itu dahulu. Setelah kubuka helaian coretan cerpen untuk aku menyambung penulisannya semula, aku amat terkejut. Ada satu coretan asing dalam buku itu. Aku memang agak marah jika buku itu ‘dikotori’. Siapa yang tidak marah apabila melihat barang yang disayanginya ‘dikotori’ oleh orang. Tapi aku tak marah atau rasa sedikit geram pun pada hari itu. Lagipun bagaimana aku nak marah, kalau isi coretan itu ditulis oleh orang yang kita suka. Coretan itu ialah surat pertama daripadanya. Tarikh pada hari itu ialah 15 September 2008 iaitu hari Isnin.

“ Nie sye yg duduk kt meja nie... Sye sbnarnya suka kat awk tpi sye anggap awk mcm kwn je. Coz sye bljr dlu ps2 form 3 lps dpt kptsn elk sye nk pindah skolah lain yg lbh elk mcm abg2 sye... sye x nk kecewakan mk ngan ayh sye... sye x mhu awk fikirkn prkra nie nnti awk x fokus pelajrn. Sye doakn awk dpt kptsn yg elk dalam SPM nanti dan berusaha taw. Key, doakn sye brjye dlm PMR taw... key bye... DON’T MALAS-MALAS “.
Aku berasa sungguh gembira pada hari itu. Inilah kali pertama aku bertemu dengan orang yang menyukai aku. Lebih-lebih lagi dia seorang perempuan. Mulai saat itu aku berkata pada diri aku, aku tak akan tinggalkan dia. Aku takut juga pada masa itu. Takut itu hanyalah satu sandiwara atau satu perangkap. Hati aku yang satu lagi berkata mana mungkin aku disukai oleh seorang gadis yang cantik dan baik. Apabila mendengar itu aku menjadi sayu. Tapi aku abaikan perasaan itu. Aku membalas surat itu dan bertanya beberapa soalan lagi bagi mengetahui secara dekat dirinya. Aku minta biodatanya pula. Jawapan yang kuterima ialah dia tak suka memberi biodatanya kepada orang lain dan permintaanku ini akan difikirkannya dulu. Akhirnya aku dapat juga biodata tentang dirinya. Dia meminta agar aku merahsiakan biodatanya. Aku simpan baik-baik biodata tersebut. Mulai saat itu aku sentiasa ceria. Aku tidak lagi moyok. Aku mulai semangat untuk belajar semula. Aku mulai nampak hikmah disebalik aku ditempatkan ke kelas 4 A*******. Aku memang tidak mula bersemangat dan tidak suka dengan aliran sains tapi sains tulen adalah hasrat ibu bapaku. Aku meminati seni dan multimedia. Aku sangat bersyukur kepada Tuhan. Mana mungkin aku dapat mengenali Ikin dengan lebih dekat jika berada di kelas lain dan di sekolah yang lain pula.

Suatu hari Ikin menyatakan kepada aku melalui sepucuk surat, bahawa aku cuma dianggap seperti seorang abang saja dan meminta aku supaya tidak mengharapkan apa-apa pun daripada dirinya. Hatiku amat tersentuh sekali apabila terbaca sebaris ayat yang menyatakan bahawa dirinya sudah berpunya dan dia tak dapat menerima aku lagi. Betullah kata hati aku yang satu lagi hari tu. Mana mungkin aku disukai oleh seorang gadis yang cantik dan baik. Kini semuanya telah menjadi kenyataan. Aku berusaha tabahkan hati. Aku membalas semula surat itu. Aku mahu tahu siapa orang yang disukainya dan kenapa dirinya tak boleh menerima aku lagi. Aku mengharapkan dia membalasnya. Aku tak dapat menahan diriku daripada menunggu surat itu pada keesokan hari. Pada malam itu juga aku naik ke kelas untuk mencari surat itu. Aku menjadi lebih berani daripada biasa. Aku pergi seorang diri ke kelas walaupun kelas itu berada di tingkat atas sekali di bangunan tiga tingkat. Aku hanya berbekalkan lampu LCD kecil saja kerana tidak mahu orang lain tahu. Aku mengambil risiko yang bahaya ada pada malam itu. Pertama, jika aku mati, orang tak tahu. Kedua, jika aku hilang atau disembunyikan, orang tak tahu. Tapi, alangkah kecewanya hatiku apabila surat yang dinanti – nantikan tiada ditempat biasa. Aku cuba mencari dalam laci meja yang lain pula. Yang aku jumpa hanyalah cebisan-cebisan kertas kecil dalam meja rakan sebelahnya. Hatiku tergerak untuk kumpul semua cebisan-cebisan itu. Setelah pulang ke tempat study, aku cuba menyusun dan menyambung cebisan-cebisan itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat hasil sambungan surat tersebut. Rupa-rupanya surat daripada Ikin. Aku tak tahu sama ada surat itu sengaja dikoyakkan atau ada pengkhianatan. Daripada apa yang aku faham, surat itu menyatakan dia tersilap tulis yang dia tak boleh menerima aku lagi. Bulan Ramadhan hampir sampai ke penghujungnya. Dalam surat yang musnah itu ada gurauan daripada Ikin supaya datang ke rumahnya pada hari raya nanti. Alangkah bagusnya kalau gurauan itu menjadi kenyataan. Pada tarikh 22 September 2008 itulah merupakan hari terakhir aku menerima surat daripadanya. Tarikh itu juga adalah hari Isnin, sama dengan hari pertama aku menerima surat daripadanya. Tapi, aku berjanji akan sampai juga ke rumahnya pada suatu hari nanti. Sejak hari itu aku tidak lagi menerima apa-apa surat daripada Ikin. Biarpun aku menghantarnya berulang-ulang kali. Aku mengambil keputusan tidak akan lagi menghantar atau mengirim apa-apa surat kepadanya walaupun aku sedar akan hadir kekecewaan dalam diriku.

Apabila Peperiksaan Percubaan SPM berakhir, kelas dipindahkan seperti sedia kala semula. Kini kelasku tidak lagi berkongsi kelas dengan kelas Ikin. Maka aku tidak lagi berkongsi meja dengan Ikin. Jika ingin mengutus surat, tidak boleh lagi bagi secara direct. Terpaksalah mencari orang tengah jika mahu berutus surat. Tapi apakan daya. Jika berutus surat pun bukannya dibalas. Lebih baik tidak, daripada hanya menyiksa jiwa. Lagi pun tahun 2008 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Mulai saat itu aku tahu siapa orang yang disukainya. Mungkin dia lebih baik daripadaku. Memanglah, jika tidak mana mungkin Ikin yang baik dan cantik itu boleh jatuh hati kepadanya. Apabila tiba masa pulang ke rumah, semua penghuni asrama mulai mengosongkan asrama. Tahun inilah yang banyak memberi kenangan kepadaku. Tahun ini juga memberi aku impak yang besar. Kenangan dengan Ikin akan aku ingat buat selama-lamanya. Akan aku pahat dalam hati ini kenangan itu. Selamat tinggal tahun 2008.

17 & 14 (2009)

Umurku meningkat lagi setahun. Seperti tahun-tahun yang lepas aku masih menghuni asrama. Kali ini merupakan tahun kelima aku tinggal di asrama. Tahun ini juga merupakan tahun penting dalam kehidupan pengajian aku. Aku akan menduduki SPM pada tahun ini. Aku perlu bersungguh-sungguh pada tahun ini. Aku tidak mahu abah dan mak kecewa lagi. Setelah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menegah Rendah (PMR), aku tidak berjaya dengan cemerlang, aku perlu membayarnya semula pada tahun ini. Apa yang sudah berlalu biarlah terus berlalu. Usah dikenang lagi. Seperti lirik lagu P.Ramlee, ‘ barang yang lepas jangan dikenang, jika dikenang pasti menangis ’. Tapi aku perlukan peransang untuk belajar. Jadi aku jadikan Ikin sebagai pendorong aku. Surat pertama Ikinlah yang menjadi pembakar semangat aku. Kerana aku akan gembira apabila membacanya semula. Setiap masa aku berdoa agar aku berjaya dalam SPM kali ini, berdoa agar Ikin juga berjaya dalam PMR dan berdoa agar hajat aku tercapai. Walaupun dia suka orang lain tapi aku tetap menanti walaupun penantian itu merupakan suatu penyeksaan. Doaku setiap hari ialah agar dia adalah jodoh aku kerana aku tak pernah jatuh cinta sampai begini, terus memburu walaupun diriku ditolak.

Sesuatu yang sering aku ingat pada masa cuti telah muncul di depanku. Aku telah mendaftar untuk masuk ke asrama bagi kali yang kelima. Dia juga masih lagi tinggal di asrama untuk tahun itu. Aku kembali bersemangat kerana orang yang menjadi batu loncatanku masih boleh aku temui. Rinduku terubat juga setelah sebulan tidak mendapat khabar daripadanya. Aku berfirasat bahawa tahun ini merupakan tahun yang paling mencabar dan menguji kesabaran.

Entah kenapa setelah beberapa hari tinggal di asrama tanganku mencoret sesuatu lalu mengirimnya kepada seseorang. Tapi alangkah hancurnya hatiku setelah mengetahui warkah yang aku kirim dengan hati yang telus dikoyakkan di hadapan rakan-rakannya. Aku dapat mengetahuinya lebih kurang pada pukul 9 malam hari selepasnya, 5 Januari 2009. Hati dan fikiran aku hanya memikirkan peristiwa itu sejak hari itu. Tiga hari selepas itu, aku hampir tidak boleh berjalan. Lutut aku terhentak dengan lutut rakan sepermainan semasa bermain bola. Sejak hari itu juga aku mendapat berita bahawa dia tidak mahu lagi mendengar apa-apa lagi dariku. Kenapalah cubaan datang bertubi-tubi kepadaku? Aku hanya mampu memerhatinya dari jauh saja. Apabila dia menyedarinya, dia akan menggunakan haluan yang lain. Tapi entah kenapa dimana sahaja dia berada aku akan dapat merasainya. Aku bukanlah ada apa-apa kuasa istimewa pun untuk mengesan kedudukan seseorang. Sebulan sebelum Valentine, aku hampir terlanggarnya semasa di pintu dewan makan asrama. Aku dari dalam mahu keluar, dia pula mahu masuk ke dalam. Apakah ini satu kebetulan? Atau ketentuan? Atau satu cubaan?

Selepas hari itu, aku menerima satu lagi cubaan. Dia menghantar warkah buat aku. Insan lain mungkin gembira menerima warkah daripada gadis kegemarannya, tetapi aku tidak begitu. Pada mulanya aku hanya berpura-pura tidak gembira menerima warkah itu. Tapi selepas membacanya, memang patut pun aku berkelakuan begitu. Warkah itu merupakan warkah yang membuat aku sedih. Dia meminta aku tidak lagi memandangnya, melupakan dia, dan dia mengugut akan pindah sekolah kalau aku masih mengulanginya. Dia juga mahu aku menangis dan bersedih. Dia berkata, jika aku tidak sedih berlakonlah sedih. Kalau orang tanya dia suruh aku berbohong bahawa habuk masuk mataku. Sampai hatinya buat aku begini. Namun aku masih punya hati yang tabah untuk menghadapinya. Aku tidak akan bersedih di khalayak ramai. Biarlah aku sengsara sendiri. Mungkinkah cintaku cukup sampai di sini?

Program tahunan asrama ialah orentasi, program yang dilakukan oleh penghuni senior kepada junior. Peserta orentasi tahun ini ialah penghuni asrama tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dan penghuni baru. Dia juga termasuk sebagai peserta orentasi. Aku akan pastikan orentasi kali ini sebagai peluang untuk aku dekatinya semula. Orentasi kali ini berlangsung selama seminggu iaitu minggu pertama bulan Februari. Acara yang aku tunggu dalam orentasi kali ini ialah ‘Malam Si Buta dan Burung Hantu’ iaitu malam kedua terakhir program. Aku mencuba untuk bercakap dengannya walaupun aku masih ada sedikit rasa takut. Takut untuk bercakap dengan gadis kesukaan kita. Takut yang bercampur malu. Meskipun sudah berada di sebelahnya lidahku seakan-akan kelu untuk berkata-kata waima dulu aku sudah merancang banyak soalan, menyusun kata untuk diluahkan pada malam ini. Setelah aku beroleh kekuatan untuk berkata-kata, dia pula diam seribu bahasa biarpun aku dibantu oleh Fazy (bukan nama sebenar).

Dia merupakan seorang atlet sekolah. Aku percaya dia mampu menjaga dirinya kerana cubaan seorang atlet amatlah sukar. Seseorang atlet perlu menjaga disiplin, tingkah laku, pemakanan, kesihatan dan pemakaian di samping menjaga aurat bagi atlet Muslim. Lima hari selepas hari orentasi, dia menyertai acara lumba lari 800 meter perempuan. Aku cuba memberi sokongan kepadanya tapi secara tidak sengaja aku terlihat auratnya, tempat yang tidak sepatutnya aku lihat. Malam itu aku hanya dapat mengutus surat sebagai pengganti diri untuk menegur tentang penjagaan aurat dan meminta maaf sebab ternampak auratnya. Aku bukanlah baik sangat. Tapi entah kenapa aku rasa bersalah kalau tidak meminta maaf tentang hal itu. Pada keesokan harinya, alangkah terkejutnya aku apabila dikhabarkan surat aku semalam ditayang kepada penghuni-penghuni asrama yang lain. Memang salah aku juga kerana menghantar surat berupa begitu. Aku tak patut melukis apa yang aku nampak dalam surat semalam. Aku juga tak tahu apa motif dia hebohkan surat itu. Sedangkan surat itu ada gambaran apa yang aku nampak tentang dirinya.

Hari ini, 14 Februari 2009. Pasangan yang sedang berada di Alam Percintaan (dAP) pasti mengingati tarikh ini. Pelbagai hadiah diberi kepada kekasih masing-masing. Sedangkan sambutan ini haram di sisi Islam. Walaupun ramai yang menyambut dan menantikan tarikh ini, aku tidak suka dengan tarikh ini, atau dalam erti kata yang lain, aku membenci tarikh ini. Jika boleh aku tidak mahu langsung melalui tarikh ini. Tarikh ini merupakan satu tarikh yang akan aku ingat sepanjang hidupku. Tarikh aku menerima surat ‘sakit hati’ daripada Ikin. Walaupun aku membenci kehadiran surat itu, aku amat berterima kasih kepadanya kerana surat itu telah membuat aku benci sepenuhnya kepada hari Valentine. Dalam surat itu terdapat serangkap lagu.

“ Dihati ini hanya Tuhan yang tahu,
Dihati ini aku meluat padamu,
Tulus hatiku katakan,
Betapa aku rimas sekali...”

Pada akhir surat itu terdapat satu nota yang menambah luka dihatiku, dia menyuruh aku bersedih seperti surat yang lepas. Tapi kali ini dia tidak suruh berlakon, dia hanya menyuruh aku ‘tenyeh’ cili pada mataku, jika tiada cili disuruh minta pada dewan makan asrama. Saat itu, aku berkata betapa kejamnya hatimu. Aku ikhlas menegurmu, tapi ditolak terang-terangan. Emosi aku pada hari itu menjadi tidak stabil. Walaupun permulaannya aku tidak mahu membalas surat itu, akhirnya aku tetap membalasnya. Aku menulis pelbagai jawapan yang tidak sepatutnya aku tulis. Selepas mengirimnya, barulah aku tersedar bahawa aku tidak patut emosi dengannya. Tapi kini sudah terlambat. Alhamdulillah, dia membalas surat itu. Isi surat itu ialah, dia minta maaf sebab sakitkan hati aku, dan meminta aku tidak berharap kepadanya serta tidak mahu aku kecewa dengannya. Ikin juga tidak mahu kami berdendam, ini adalah untuk kepentingan kami juga. Dia juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menegur dia demi kebaikan dan meyatakan itu adalah surat yang terakhir. Dalam surat itu juga dia sempat memberi semangat kepadaku supaya aku skor dalam SPM. Surat itu membuat aku amat terharu dengan kebaikannya. Sememangnya aku tidak layak untuk bersamanya kerana dia jauh lebih baik daripadaku.

Di asrama aku juga bergiat dalam nasyid. Pada tahun ini, asrama tempat aku menghuni telah dinobatkan sebagai ‘Juara Nasyid Gerkorama Peringkat Daerah Kubang Pasu 2009’ pada 28 Februari 2009. Walaupun aku tidak menghubunginya lagi, aku masih mendapat khabar tentang dia. Kali ini aku dapat satu lagi maklumat tentang dia. Kenapa dia digelar ‘Jelita’ dalam kalangan aspuri. Ini kerana fesyen rambutnya serupa dengan Agnes Monica dalam sinetron ‘Jelita’. Satu lagi peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah peristiwa kilat. Pada suatu malam aku, Danny, dan Akmal (bukan nama sebenar) pergi ke belakang bilik dobi asrama untuk mengangkat tong hitam yang disuruh oleh Ketua Warden. Ketika itu hujan turun sangat lebat. Tapi kami tetap pergi juga. Sebaik sahaja kami mengubah tong tersebut, kilat terus memancar ke tempat itu. Jauhnya lebih kurang satu meter jaraknya dari kami. Sejurus kilat memancar lantas kami duduk dan pejamkan mata. Selang beberapa minit, kami cuba membuka mata untuk melihat keadaan sekeliling. Ya Allah, apa yang terjadi? Pandangan kami gelap, tiada apa yang kami nampak. Apakah kami sudah buta? Alhamdulillah, setelah memejam dan membuka semula mata, kami dapat melihat semula. Ketika pandangan kami gelap tadi, kami mencari sesama sendiri. Kami sangat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat. Kami tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada kami jika kami ditakdirkan buta. 8 Mac 2009, itulah tarikh yang sangat memberi impak yang besar kepada kami.

Hari ini merupakan hari yang agak bahagia buat aku. Hari ini juga adalah hari mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahku. Kebetulan pula tempat aku sedang lepak berhampiran dengan tempat Ikin berada. Jaraknya hanya beberapa meter sahaja. Mungkin dia sedang menunggu ayahnya atau ibunya. Aku menyuruh kawanku meminta nombor telefon bimbitnya dan jangan memberitahu bahawa aku yang memintanya, tetapi dia mengetahuinya juga. Aku masih ingat lagi tarikh hari tersebut. Hari itu adalah hari yang ke-26 dalam bulan ini. Lima hari selepas itu, aku tersentak lagi. Ayah yang kupanggil abah bertanya tentang Ikin. Bagaimanakah abah boleh tahu sedangkan aku tidak pernah bercerita tentang Ikin di rumah. Abah cakap ada perempuan yang memberitahunya. Hati aku tertanya-tanya siapakah gerangan orang itu. Empat hari selepas itu pula aku mendapat panggilan daripada ayah yang dipanggil abah juga oleh Ikin pula. Aku kaget sebentar. Tapi, aku tenang kembali kerana cara abahnya cakap memang ‘sporting’. Dalam bulan ini jugalah kami selalu bertembung dan bertentang mata.

Pertengahan bulan April, kelas aku perlu mengendalikan Program ‘Science Exploring’ yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 April 2009. Dua hari sebelum tarikh itu, kami akan pulang lewat dari sekolah untuk membuat persediaan program tersebut. Enam hari selepas itu, aku mendapat pengalaman yang tidak pernah aku dapat. Pengalaman dapat melihat makhluk halus. Kejadian ini berlaku apabila aku dan penghuni aspura sedang menuju ke asrama setelah selesai kelas malam. ‘Benda’ tersebut melintas betul-betul depan kami. Setelah diselidik barulah kami tahu, ‘benda’ itu lari setelah ada ustaz yang datang untuk merawat seorang aspuri yang dirasuk syaitan. Mungkin ‘pagar’ yang berusia lebih kurang lima tahun sudah bocor.

Aku tidak tahu apakah pada saat ini aku masih kawan kepada Ikin. Selepas dua minggu kejadian hantu itu, aku menghantar satu warkah untuk bertanyakan status aku. Aku cuma ingin tahu sama ada aku masih lagi kawannya ataupun tidak. Bolehkah dia memaafkan aku atas kesalahan aku yang lepas. Aku juga mahu dia memberi sepuluh sebab mengapa dia membenci aku. Aku menerima balasan surat tersebut pada malam itu juga. Bukan satu tetapi dua warkah. Ikin kata kami masih lagi kawan dan dia juga memaafkan aku tetapi aku perlu berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Tentang sepuluh sebab kenapa dia benci akan aku itu, dia tidak perlu menjawabnya kerana dia tidak pernah pun membenci aku. Hanya aku selalu salah sangka. Mungkin aku terlalu melayan perasaan aku. Dalam surat itu juga dia menyatakan bahawa dia terima aku sebagai kawan pun sebab dia tidak pernah ada perasaan kepadaku. Dia juga minta maaf banyak-banyak kerana sakitkan hati aku dan beritahu aku sejujur-jujurnya supaya aku tidak lagi mengharapkannya. Katanya, banyak lagi perempuan yang baik, cantik dan pandai daripadanya di dunia ini. Alangkah hancurnya hati aku setelah membaca surat itu walaupun lahir sedikit kegembiraan.

“Ikin, terima kasih kerana masih menerima saya sebagai kawan walaupun saya selalu mengganggumu dan kadangkala awak rasa terkongkong berkawan dengan saya. Terima kasih juga kerana tidak pernah ada perasaan terhadap saya walaupun dalam surat pertama awak bagi kepada saya, awak kata awak suka akan saya. Terima kasih juga kerana memaafkan saya dan tidak pernah membenci saya walaupun saya adalah ‘pengacau’ pembelajaranmu. Terima kasih juga kerana memberitahu saya bahawa ada perempuan yang lebih baik, cantik dan pandai daripada awak. Saya tahu maksud awak. Awak nak kata bunga bukan sekuntum kepada saya. Awak, ketahuilah, memang benar bunga bukan sekuntum, tapi yang sekuntum itulah yang menawan hati. Tapi, jika yang bunga itu sudah ada kumbangnya? Ya, selagi kumbang itu tidak lagi menghisap madunya, selagi itulah kumbang ini terus berjuang. Tahukah kamu siapakah bunga itu Ikin? Tahukah? Bunga itu adalah awak, Ikin. Awak. Tahukah awak, saya tidak boleh melupakan awak seperti yang awak minta. Setiap kali saya berusaha untuk melupakan awak, jantung saya akan terasa pedih sangat. Ah, biarlah, lupakanlah tentang itu. Biar sengsara manapun saya berusaha, awak bukanlah memahaminya. Biarlah aku sengsara sendiri. Mengapalah aku terlibat dalam tragedi ngeri ini?! Biarlah aku menghabiskan hidup aku dengan melalui liku-liku yang amat memedihkan ini seorang diri.”

Lima hari selepas aku menerima warkah yang bercampur baur kegembiraan dan kesedihan itu, aku ditimpa kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa jika terlambat. Pada hari itu, 11 Mei 2009, ketika aku sedang menjawab soalan peperiksaan pertengahan tahun, bahu dan belakang aku rasa begitu lenguh sekali. Pada sangkaan awal, mungkin sebab main bola kelmarin. Setelah pulang ke asrama aku membuka baju sekolah, aku ingin berehat sebentar. Ketika hendak merebahkan badan ke atas katil, dada aku sakit secara mendadak. Kepedihannya tidak dapat digambarkan. Aku tidak dapat menahan kesakitan itu. Aku cuba bernafas tapi setiap kali aku menarik nafas, dada aku akan lebih sakit. Aku sempat melihat jam yang menunjukkan pukul 2 petang. Sampai bila aku harus bertahan? Lalu aku menyuruh entah siapa yang ada di situ supaya memanggil ketua asrama yang dikenali sebagai Lah (bukan nama sebenar). Setelah diketahui apa yang berlaku, dia melaporkan kepada warden. Lantas, warden membawaku dibantu Danny ke Klinik T******. Aku diberi cecair putih sebagai pembuka puasa. Doktor di klinik itu memeriksa aku. Dia tidak dapat mengenal pasti apa punca aku jadi begitu. Doktor di klinik tersebut menyuruh kami ke Wad Kecemasan Hospital J**** pula. Dalam perjalanan ke sana aku teringat cerita Puaka Nyang Rapik. Ustaz Amirul juga pernah sakit dada gara-gara ‘buatan’ orang. Aku harap aku bukan seperti itu. Apabila tiba di Wad Kecemasan hospital tersebut, doktor di situ mengatakan aku hanya sakit biasa. Apakah ujian yang Dia berikan kepadaku? Aku terasa dadaku amat pedih terutamanya apabila bernafas tapi doktor kata hanya sakit biasa. Apabila ke ruang pesakit luar, aku perlu melalui dua ujian iaitu ujian darah dan sinar-X atau ‘X-Ray’. Keputusan kedua-dua ujian tersebut adalah normal. Maksudnya aku tidak ada apa-apa sakit. Doktor membuat kesimpulan bahawa badan aku masuk angin. Apakah hikmah disebalik kejadian ini? Aku terasa begitu pedih sedangkan keputusan doktor hanyalah sakit biasa. Aku bercuti selama tiga hari selepas kejadian itu.

Kejadian itu merupakan tragedi keempat aku berada diambang maut selepas dua kejadian yang berkaitan kereta. Kejadian pertama ialah aku berlari dengan laju, tetapi tersadung batu lalu terlanggar kereta. Kejadian itu meninggalkan parut tidak berjahit di kening mata kananku. Kejadian kedua ialah aku berlari secara mengundur dan kepalaku terhantuk dengan tiang di belakangku. Kejadian ini menyebabkan aku kehilangan darah yang banyak dan parut yang tidak berjahit itu masih ada lagi dibelakang kepalaku. Seumur hidup aku belum ada benang yang menembusi badanku. Kejadian terakhir sebelum kejadian baru-baru ini ialah kemalangan yang berlaku di depan Pasaraya Y*****. Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut melambung tinggi dan berpusing-pusing menuju ke arah tempat di mana aku sedang berdiri. Entah kenapa aku tidak boleh berganjak sedikit pun walaupun aku tahu jika kereta itu menghempapku, aku boleh terbunuh. Tapi Tuhan masih sayangkan aku. Kereta tersebut tersangkut dalam longkang besar yang tidak bertutup beberapa meter di hadapanku. Itulah kali pertama aku lihat kejadian kemalangan seperti adegan dalam filem.

Aku tidak tahu bahawa Ikin menceritakan tentang aku kepada sepupunya. Hari ke-11 bulan berikutnya aku dapat tahu dia menceritakan tentang susuk tubuh aku kepada sepupunya. Aku bukanlah tegap seperti Hritik Roshan untuk diceritakan. Aku agak malu walaupun muncul kegembiraan. Kenapa perlu dia menceritakan semua itu? Tiada aspek lainkah yang boleh diceritakan?

Hari ke-20 bulan berikutnya, asrama melangsungkan acara sukaneka asrama. Hari ini juga merupakan hari yang agak gembira bagiku. Aku berpeluang melihatnya terus secara dekat. Tapi apakan daya biarpun dekat aku tidak mungkin dapat memperoleh kesempatan untuk berbicara dengannya. Tapi empat hari selepas itu, aku amat gembira kerana dapat juga berbicara dengannya walaupun sekadar SMS. Pada mulanya dia tidak mahu mengaku, dia menyamar sebagai Balqis Maisarah. Apabila dia mengetahui yang SMS dia adalah aku, barulah dia mengaku. Aku juga tidak memberitahu siapa aku pada awalnya tapi dia dapat menekanya dengan tepat.

Suatu petang, sehari sebelum tiba bulan kita semua menyambut kemerdekaan, kami iaitu aku dan beberapa orang lagi rakan sehaluanku terserempak dengan beberapa pasangan yang sedang berdating. Terkejut dengan kehadiran kami, mereka lari bertaburan. Ada yang sembunyi dibawah meja. Mereka adalah aspura dan aspuri. Salah seorang aspuri itu memang cukup aku kenal. Dialah orang yang aku cuba dekati selama ini. Ketika dia melewati aku, aku kaku seperti pokok tidak dapat bergerak. Dia juga kaku sebentar, mungkin kerana ‘kantoi’ dengan aku sendiri. Tapi, aku memang sudah lama tahu bahawa dia ‘couple’ dengan siapa. Hati aku ketika itu bercampur baur antara marah dan gembira.

Kini tiba musim cuti penggal kedua tahun ini iaitu sebelas hari sebelum tiba hari kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Bulan Ramadhan juga hampir tiba. Bulan dimana semua umat Islam akan melaksanakan Rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa. Semua penghuni asrama boleh pulang ke rumah masing-masing pada hari itu. Aku seperti biasa akan pulang lambat walaupun boleh pulang pada tengah hari. Aku perlu menunggu pulang bersama adik aku yang bersekolah di sesi petang. Biasanya Ikin akan pulang agak awal daripadaku setiap kali minggu balik. Tapi pada petang itu, ketika aku mahu pulang, aku lihat dia masih belum pulang. Mungkin warisnya belum datang lagi. Entah kenapa aku rasa aneh sangat hati aku ketika memandangnya petang itu. Ketika malam menjelma aku cuba menghubunginya melalui mesej. Mula-mula sekali aku tanya betul atau tidak dia balik lambat petang tadi untuk kepastian takut aku tersilap orang. Nasib baik betul. Sebelum aku melanjutkan pertanyaan aku tentang dirinya, aku tanya terlebih dahulu sama ada dia tengah mesej dengan orang lain atau tidak. Iya lah, takut aku dianggap sebagai penggangu pula. Malam itu merupakan malam yang paling indah bagiku. Aku dapat tahu macam-macam tentang dirinya dan keluarganya. Aku bertanya sebab aku nak kenal rapat dengan dia dan keluarganya bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’. Dia juga meminati drama yang aku minati iaitu drama ‘BIO-NIK’ yang ditayangkan setiap Isnin pukul 9 malam di TV3. Malam itu jugalah aku dapat tahu bahawa dia sudah membaca dan menyukai cerpen aku yang pertama iaitu ‘Khayalan Semata-mata’. Ikin juga meminta agar aku bagi dia baca jika aku menulis lagi. Malam itu jugalah aku dapat ucapan sweet dream yang pertama daripada seorang gadis yang hatiku sudah tertarik padanya. Mimpi indah aku malam itu.

Keesokan harinya, aku bangun tidur dengan penuh semangat. Badanku penuh dengan tenaga pagi itu. Rasa mengantuk langsung tiada ketika berada di tempat tuisyen. Selepas tuisyen aku singgah sebentar di Bandar J****. Tiba-tiba, telefon bimbitku aku bergegar. Alangkah gembiranya hatiku, kerana ada mesej dari Ikin. Rupa-rupanya dia juga ada di Bandar J**** ketika itu. Melalui mesej itu, tahulah aku bahawa dia telah terjumpa aku kerana dia tahu warna pakaian aku ketika itu. Tapi apabila aku bertanya di mana dia berada, dia cuba mengelak. Aku tidak kisah sangat sebab ketika itu aku bersama dengan keluarga. Lagipun waktu Zohor hampir tiba dan aku perlu pulang cepat untuk bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat. Keesokan harinya pula dia mendapat tahu bahawa aku pernah berkomunikasi kepada abah dan kakaknya.

Lima hari selepas peristiwa di Bandar J****, aku perlu menghadiri tuisyen yang ditaja oleh Yayasan Al-Bukhari. Subjek pada petang itu ialah Biologi. Kelas pada petang itu diisi dengan teknik menjawab yang disampaikan oleh penceramah luar. Aku datang agak awal. Aku tidak dapat fokus kepada ceramah hari itu. Mana mungkin aku dapat fokus jika hati sedang resah, akal melayang memikirkan mesej tengah hari tadi. Aku berperang mesej dengan Ikin. Memang aku yang bersalah, aku terus-menerus bertanya tentang dirinya sampai dia rasa tertekan. Aku memang tak patut buat seperti itu. Puas aku meminta maaf barulah dia memaafkan aku. Itu pun selepas aku berpantun dan hampir tiba waktu berbuka puasa.

Aku masih lagi rasa bersalah walaupun dia telah memaafkan aku semalam. Hari ini kami sama-sama mengambil keputusan untuk berlakon seperti kawan yang tidak pernah jumpa dan kenal. Aku tidak pernah jumpa dan kenal Ikin, Ikin tidak pernah jumpa dan kenal aku. Kami akan sama-sama mendoakan kejayaan kami. Aku mendoakan dia, dia mendoakan aku. Aku yang mulakan dulu biarpun hati kecil ini tidak merelakan. Tapi apakan daya tangan sudah menekan punat-punat telefon bimbit dan menu ‘hantar’ telah pun ditekan. Mungkin mesej itu yang dinanti-nantikannya selama ini. Tatkala mesej daripada Ikin tiba, air mata yang berlinangan tidak dapat ditahan lagi lalu mengalir deras dipipiku. Mungkinkah itu mesej yang terakhir daripadanya?

“Hilangnya cintamu menusuk hatiku,
Perginya dirimu merobek jantungku,
Hinggaku terjatuh dalam harapan...”

Cuti sempena Hari Raya Aidilfitri kini menjelang tiba. Semua umat Islam berasa gembira terutamanya bagi mereka yang tidak tinggal bersama ibu bapa di kampung. Begitu jugalah budak-budak asrama. Kami juga berasa gembira. Dua hari sebelum raya aku cuba mesej kepada Ikin. Asalnya aku cuma ingin ucap Selamat Hari Raya saja, tapi dia pula menyamar sebagai orang lain. Seperti mesej yang lepas. Kali ini dia menyamar sebagai Refa Dania pula. Walaupun dia tak mengaku, aku boleh tahu itu adalah Ikin kerana gaya mesejnya. ‘Refa Dania’ tanya apa hubungan aku dengan Ikin. Soalan yang amat sukar dijawab. Hanya dia saja yang tahu apa hubungan sebenar kami. Jadi tidak perlulah aku menjawab soalan itu. Dari situ juga aku dapat tahu bahawa dia jenis yang macam mana. Kalau dia setia dengan seseorang lelaki, dia akan setia sesungguh-sungguhnya. Tapi kalau seseorang lelaki itu tak setia dengannya, dia akan kenakan lelaki itu sepuluh kali ganda perbuatan lelaki itu.

Hari ini adalah hari yang telah aku rancangkan. Tapi tak tahulah sama ada akan berhasil atau tidak kerana aku hanya merancang tapi Dia yang menentukan. Sedang aku menulis mesej ucapan hari lahir untuk dihantar kepada Ikin pada masa yang ditetapkan, aku tertekan punat ‘hantar’. Jadi, mesej itu pun terhantar awal dari masanya. Mesej itu sepatutnya dihantar pada jam 0000, 19 Oktober 2009 tapi terhantar pada jam 1940, 18 Oktober 2009. Seminit kemudian, dia mengucapkan terima kasih sebab wish kepadanya. Keesokan malam, setelah pulang ke asrama, aku mengirimkan kad hari jadi kepada Ikin. Kad tersebut telah lama aku hasilkan terutamanya gambar pemandangan kampung yang disukainya. Aku melukisnya sendiri dengan tunjuk ajar temanku, Fiq (bukan nama sebenar). Fiq merupakan sifu aku dalam seni lukis. Alangkah gembiranya apabila aku dapat mengetahui bahawa Ikin memuji lukisan itu. Dia berkata lukisan itu sungguh cantik. Aku dapat tahu pun melalui kawan sebayaku, Mai (bukan nama sebenar). Dia beritahu aku, Ikin kata “eee... cantiknya...” apabila melihat lukisan itu.

Tiga hari selepas hari jadinya, sekolah mengadakan Hari Kokurikulum yang menjadi antara program besar sekolah. Pada hari tersebut semua pelajar hanya memakai pakaian sukan sahaja kecuali yang terlibat dengan Majlis Hari Anugerah Kokurikulum. Terdapat juga gerai jualan yang kebanyakannya diselia oleh pelajar. Aku terlibat dalam kedua-dua acara tersebut. Aku perlu membaca doa untuk Majlis Hari Anugerah Kokurikulum lalu terus ke gerai jualan kerana aku dan beberapa orang kawan lagi perlu mengendalikan gerai ‘Islamic Corner’ yang dicipta oleh Kelab Kebudayaan Islam. Antara jualan kami ialah bebola ayam, bebola ketam, daging burger dan hotdog. Pada hari itu jugalah aku dapat tahu jenis darah aku. Itu pun melalui menderma darah. Kumpulan darah aku adalah kumpulan O+, kumpulan darah yang boleh menderma kepada semua kumpulan darah. Hari itu juga aku dapat lihat Ikin, pelajar perempuan yang cantik berbeg merah jambu berkali-kali. Aku lihat matanya seperti melirik ke arah tempat aku berada. Aku melihat keliling, takut dia melirik kepada orang lain. Ialah takut aku yang gila bayang. Tapi tiada siapa pun yang terlibat dalam peristiwa itu. Apabila aku merenung matanya, dia tidak beralih sedikit pun. Apakah aku sedang bermimpi? Rakaman peristiwa itu tidak akan aku padam daripada memori ingatanku. Tiada mana-mana kamera pun yang dapat merakam peristiwa itu dengan baik sepertimana mataku sendiri dan tiada mana-mana memori pun yang dapat menyimpan peristiwa ini dengan baik melainkan otak aku sendiri.

Hari terakhir bulan ini, asrama kami mengadakan jamuan akhir tahun di Hotel H****** V**** di Bandaraya A*** S****. Jamuan ini mungkin merupakan jamuan yang terakhir untuk aku bersama warga asrama. Ada antara penghuni asrama yang membuat persembahan termasuklah aku. Aku dapat lihat dia dari dekat hari itu. Aku berada betul-betul belakang dia satu ketika dalam majlis itu. Sungguh ayu wajahnya apabila ditatap dekat. Semalam, sepupunya hantar mesej. Ikin juga ada di sebelah sepupunya. Pada akhir mesej aku meminta sepupunya menyampaikan salam aku kepada Ikin dan beritahu akan jumpa lagi di hotel esok. Mesej itu dibalas oleh Ikin seperti ini, “Ok…kta jmpe kt hotl eck taw..”. Aku berfikir perlukah aku berjumpa dengan dia atau itu mesej yang biasa saja?

Hari ini merupakan hari keluar ke pekan atau lebih dikenali dengan perkataan outing yang terakhir untuk penghuni asrama lelaki. Tapi sebelum dibenarkan outing semua wisma atau dorm perlulah dalam keadaan kemas dan bersih terlebih dahulu. Hari operasi pemeriksaan kebersihan dilakukan secara silang. Pengawas aspura akan memeriksa blok aspuri manakala pengawas aspuri akan memeriksa blok aspura. Semasa sedang menjalankan pemeriksaan, seorang rakan pengawas memanggil aku. Rupanya dia jumpa gambar gadis yang aku sukai tidak memakai tudung. Hati aku ketika itu bercampur baur. Gembira? Marah? Kenapa dia tidak menutup aurat ketika bergambar?

18 November 2009. Tarikh yang agak menakutkan. Hari ini bermulah peperiksaan SPM dan STPM. Selain daripada kami, penghuni yang tidak terlibat dengan peperiksaan telah dibenarkan pulang ke rumah. Subjek pada hari itu agak senang kerana aku boleh menjawabnya dengan mudah. Petang itu, aku dengan Ikin berkomunikasi melalui mesej kerana dia sudah pun pulang ke rumah. Aku beritahu dia tentang peristiwa empat hari yang lepas, semasa pemeriksaan aspuri, tentang gambarnya yang tak pakai tudung. Dia malu mendengar cerita aku tentang perkara itu.

Tiga minggu berturut-turut pada hari Rabu, aku bermimpi tentang Ikin. Mungkin disebabkan aku terlalu memikirkan dirinya. Mimpi Rabu pertama berlaku dalam wisma E****. Ketika aku sedang bersiap-siap untuk ke sekolah dalam bilik itu, dia datang bersendirian meletakkan surat dalam loker aku yang berada di depanku. Dia memandang aku dengan senyuman terukir manis di bibirnya. Mimpi Rabu kedua pula berlaku di suatu tempat yang tidak diketahui aku. Aku ialah seorang kesatria. Ikin ialah puteri. Aku perlu bertarung untuk menyelamatkan dia daripada seekor naga yang besar dan aku berjaya menyelamatkannya. Mimpi Rabu yang ketiga pula berlaku dalam dua suasana iaitu suasana Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Raya Korban. Ketika Hari Anugerah Cemerlang aku datang lewat ke dewan, lampu dewan belum dibuka. Apabila tiba saja di dewan aku terus ke bilik P.A System untuk buka lampu dewan. Ketika itu aku lihat Ikin sedang memerhatiku bersama sekuntum senyuman. Dalam suasana Hari Raya Korban pula aku menjadi salah seorang penyembelih lembu. Ketika sedang menyembelih, aku rasa ada seseorang tengah memerhatikan aku. Setelah selesai urusan itu, aku berpaling ke belakang dan apa yang aku rasai itu memang betul kerana Ikin sedang memerhatiku. Aku tidak tahu apa maksud mimpi-mimpi yang muncul pada tiga hari Rabu yang berturut-turut. Mungkin ada maksudnya, mungkin hanya mainan tidur. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui dan Dialah saja yang tahu apa maksudnya.

Aku tidak pasti sama ada tahun depan aku dapat berjumpa dengan dia atau tidak. Tahun ni aku sudah tingkatan lima. Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir aku tinggal di asrama. Banyak juga gelaran yang aku terima sepanjang aku tinggal di asrama. Antaranya ialah, Shinichi, Conan, Bionik atau robot. Banyak kenangan yang tak dapat aku lupakan pada tahun ini. Adakah ianya akan jadi kenangan selama-lamanya atau ianya mempunyai sambungannya lagi?

Selama ini pemuda tersebut tidak pernah segembira itu. Dia sering tertekan dengan keluarganya. Tidurnya, makannya, mandinya serba serbi salah. Makan terpaksa, tidur terpaksa malah main pun terpaksa. Apabila tiba waktu petang, dia akan mengayuh basikal buruknya meronda ke mana saja basikal itu membawanya seperti orang gila. Jika tidak keluar, dia akan terpuruk di dalam bilik sahaja. Dia hanya ada kawan di asrama dan sekolah. Apabila pulang ke rumah dia keseorangan, tiada teman, tiada kawan. Tapi, semenjak kehadiran seorang gadis dalam hatinya, hidupnya telah berubah. Dia penuh bersemangat, tidak mudah putus asa dan berani tanpa kenal erti takut. Dia tidak lagi berkelakuan seperti orang gila. Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Dia kembali seperti dulu setelah gadis itu pergi. Malah lebih teruk daripada sebelumnya. Walaupun dia sudah berusaha untuk melupakan gadis tersebut, dia tetap gagal. Gagal untuk melupakan gadis tersebut. Hendak diceritakan kepada keluarga, dia dengan keluarganya sendiri memang tidak rapat daripada dulu lagi. Hendak diceritakan kepada teman-temannya, dia tahu pasti sindiran akan diterimanya. Lalu, dia terus simpan masalah itu kepadanya. Dia tidak tahu bagaimana dia nak mulakan hidup baru. Dia cuba cari orang yang boleh dipercayai untuk diluahkan segala masalah tetapi tiada. Kata orang masalah yang dipendam, lama kelamaan akan meletus jua seperti gunung berapi. Apabila meletus, tidak tahu apa yang akan terjadi padanya. Kini, dia mengalami ketidakseimbangan kimia dalam otaknya. Dia nampak perkara-perkara yang tidak pernah dia nampak. Apabila dia memejamkan matanya, dia berada di tempat yang lain. Walupun hanya sebentar dia memejam. Dia juga suka berada dalam kegelapan. Semakin gelap semakin bagus baginya. Dia juga selalu membisu. Terutamanya di rumah. Dia juga semakin jauh daripada Tuhannya, semakin membenci dirinya dan orang kelilingnya. Sikapnya berubah menjadi panas baran. Tidurnya juga menjadi terbalik. Dia lebih suka tidur di siang hari. Itupun, hanya sebentar. Di sebelah malamnya pula dia akan berjaga. Dia juga akan bermimpi setiap kali tidup walaupun tidur hanya sebentar. Entah sampai bila dia akan begini. Dia juga sering bertanya sendirian kenapa dia tidak pindah ke SM Teknik pada tahun 2008. Kalau dia berpindah, sudah tentu semua masalah tidak akan timbul. Sampai bila dia akan memendam masalah ini? Sampai bila dia akan menyimpannya di dalam lubuk hati yang paling dalam? Kadang kala dia rasa mahu tinggal di dalam hutan saja. Berkawan dengan haiwan-haiwan. Dia terfikir satu cara yang mungkin berkesan untuk lupakan gadis tersebut. Caranya ialah hilang ingatan. Dia berharap ada orang akan memukul kepalanya sehingga dia hilang ingatan sekaligus memadam memori tentang gadis tersebut.

Tanpa aku sedari, jam sudah pun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Hujan pun sudah lama berhenti. Aku terus menutup buku yang kucoretkan kisah pemuda tadi dan terus menuju ke bilik air untuk membasuh kaki dan berwuduk lalu merebahkan badanku di atas katil kayu usangku. Sebelum tidur, hatiku berbisik, “cerita ini belum selesai...




*Lukisan pemandangan kampung yang dilukis oleh pemuda itu kepada Ikin sempena hari lahir gadis itu.


*Kulit belakang


0 ulasan:

Catat Ulasan

HATI SEORANG INSAN

Hati hiba mengenangkan
Dosa-dosa yang ku lakukan
Oh Tuhan Maha Kuasa
Terima taubat hamba berdosa

Ku akui kelemahan diri
Ku insafi kekurangan ini
Ku kesali kejahilan ini
Terimalah terimalah terimalah taubat Ku ini..

Telah aku merasakan
Derita jiwa dan perasaan
Kerana hilang dari jalan
Menuju redhamu ya Tuhan
Dihamparan ini ku meminta
Moga taubatku diterima

Bila mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masih adakah ampunan buatku

Tuhan dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan ada yang dapat ku gagahi
Dan ada yang ku gagal hindari

Tuhan dosaku menggunug tinggi
Tapi taubatku takut tepati
Tuhan rahmatMu melangit luas
terlalu sedikit ku bersyukur

Kini ku kembali padaMu
Mengharap maghfirah dariMu
Moga terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih padaMu
Kerana yakin kasihMu
Kekal tiada sudahnya.....

ADIK AZAM

ADIK AZAM

lompat ke angkasa

lompat ke angkasa

TELUK BATIK-FINAL PROJEK SEM3

TELUK BATIK-FINAL PROJEK SEM3

WARNA WARNI AZAM

WARNA WARNI AZAM

the best family

the best family

buat sahabat ku...

buat sahabat ku...

Wajah-wajah ceria Permata Hati

Wajah-wajah ceria Permata Hati
(dari atas kiri : Kak Mira, Kak Ina, Amad, Paksu, Kak Zai, Pidah) (dari bawah kiri : Syed, Apis, Pakman, Kak Dihah, Naim, e-pol)

ALONG YG PALING COMEY

ALONG YG PALING COMEY

I made this widget at MyFlashFetish.com.